Monday, April 07, 2008

FIkir-Fikirkan: Melayu Alami Krisis Besar 2023?


Fathi Aris Omar
Malaysiakini.com Apr 6, 08


Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tan Sri Sanusi Junid meramalkan orang Melayu akan mengalami satu lagi krisis besar pada tahun 2023 selepas ketewasan besar Umno dalam pilihanraya umum 2008.

"Ada tiga lagi pilihanraya umum - apakah orang Melayu akan hilang kuasa (pada 2023)?" katanya, mengulas prestasi buruk BN dan Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac, hari ini.

Bekas setiausaha agung Umno itu mengemukakan "teori krisis 18 tahun" bangsa Melayu, yang terkini bermula pada 2005 selepas konflik yang memecahkan Umno pada 1987 hingga 1988.

Bercakap di majlis 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang, Sanusi berkata beliau mulai berasa cemas pada 2004 kerana meramalkan sesuatu yang buruk akan terjadi tidak lama lagi.

"Kalau saya cerita, tidak ada orang percaya," katanya.

Teori kitaran krisis bekas menteri besar Kedah itu dimulakan dengan peristiwa pemisahan empat wilayah orang Melayu di selatan Thailand pada 1887 daripada Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya lagi, pada 1915, Johor menerima penasihat Inggeris dan bermulakan kempen menyuburkan semangat kenegerian di Tanah Melayu, antaranya dengan mencipta lagu negeri dan bendera negeri sehingga memecah-belahkan kumpulan-kumpulan masyarakat Melayu.

Pada 1933, muncul kemasukan pendatang Cina dan India secara lebih sistematik selepas kemerosotan besar ekonomi dunia, khususnya di Barat.

Kemudian, 1951, tidak lama selepas berdepan dengan Malayan Union dengan slogan "Hidup Melayu", Umno terpecah dua apabila ketua biro agamanya keluar parti dan melahirkan PAS.

Tambah Sanusi lagi, perpecahan itu akibat persaingan sengit antara Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman untuk merebut jawatan presiden Umno. Ahmad tewas dengan 46 undi.

"Kemudian 1969, kecelakaan lagi. Kita hampir-hampir hilang kuasa. PAS mula mengkafirkan Umno (menjelang pilihanraya umum tahun itu)," katanya.

Teorinya itu diselang seli dengan kritikannya pada presiden Umno kini dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sekarang terpaksa bergantung pada sokongan BN di Sabah dan Sarawak selepas pengundi di Semenanjung menolak parti itu.

"Nasib baik ada pemimpin bumiputera yang baik di Sabah dan Sarawak," kata bekas menteri pertanian itu.

"Kita hendak bercakap besar atau tidak? Kita sendiri sudah tidak bernafas di Semenanjung."

Beliau juga menegur Abdullah yang dianggap cuba mengelak daripada berdepan dengan masalah sebenar. "Bukan kita lari, tutup telinga. Waktu ada masalah, kita berdepan dengan masalah," katanya.

Sanusi berkata, beliau seharusnya menjadi orang tengah antara Dr Mahathir dengan Abdullah untuk menyelesaikan masalah antara dua tokoh negara itu tetapi akhirnya gagal berbuat demikian.

"(Laporan) masalah (dari Abdullah) tidak sampai. Saya sendiri tidak boleh bercakap dengan Tun (Dr Mahathir)," katanya.

"Saya sekarang presiden UIA. Sudah tidak lama (pegang jawatan itu). Mati syahid di situ, alhamdulillah," katanya, disambut ketawa hadirin.

Tentang menantu perdana menteri Khairy Jamaluddin, Sanusi berkata terdapat sebilangan mahasiswa yang memalukan universitinya sendiri.

"Universiti (Oxford) pintar, (tetapi) budak-budaknya tidak pandai," katanya.

Beliau juga menyalahkan stesen televisyen RTM yang menyiarkan rakaman Anwar menari dan menyanyi secara bertubi-tubi menjelang pilihanraya umum baru-baru ini.

"Pada asalnya ditolak (oleh pengundi), kemudian diterima kerana kerenah media massa, tidak pandai mengendalikan media massa," tambah Sanusi.

1 comment:

Anonymous said...

Ini yang susahnya apabila fikiran terlalu sempit dan terlalu taksub kepada UMNO hingga buta kepada kenyataan semasa dan realiti politik. Rakyat melayu sudah celik mata dan sedar atas berbagai penipuan UMNO serta kekotoran politik yang menjadi asas dan budaya dalam parti tersebut. Ini lah sebabnya orang Melayu akan terus menolak UMNO dan akan menaruh harapan serta kepercayaan kepada PAS dan PKR sebagai tunjang pergerakkan membela dan membina semula nasib orang melayu. Oleh yang demikian (pada hemat saya )tahun 2023 akan menghasilkan kejayaan tulen orang melayu - yang menghadapi krisis besar hanya lah elit-elit dalam UMNO.

My Say